KUALA LUMPUR 1 Dis. - Loh ialah seorang gadis berusia 21 tahun yang memiliki garisan lurus di kedua belah tapak tangannya.
Bagi masyarakat Cina, garisan tapak tangan sering dikaitkan dengan pelbagai telahan nasib, dan Loh juga tidak terkecuali berikutan keunikan tapak tangannya itu.
Namun, Loh dianggap bernasib malang kerana garisan lurus pada tangannya itu juga menjadi punca dia terpaksa menjadi hamba seks kepada seorang tukang tilik yang telah mengeksploitasinya.
Pada mulanya, pelajar jurusan pemakanan di sebuah kolej swasta itu menggangap dirinya tidak bernasib baik, apatah lagi apabila dia disahkan menghidapi penyakit diabetes dua tahun lalu.
Bagi meringankan 'nasib malang' yang dialaminya itu, Loh membuat keputusan untuk membiarkan nasibnya diramal oleh seorang tukang tilik yang dikenali sebagai 'Master Choy'.
Segala-galanya bermula pada Disember tahun lalu apabila mangsa terserempak dengan lelaki pertengahan umur itu ketika berjalan-jalan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Ternyata, 'Master Choy' yang licik bijak mengeksploitasi keunikan yang dimiliki mangsa.
"Setelah menilik garis lurus pada tapak tangan saya, 'Master Choy' meramal saya akan ditimpa nasib malang dan untuk mengelak sial, saya dinasihati supaya tidak berkahwin dengan orang bujang.
"Katanya, saya akan mati atau diserang penyakit kronik sekiranya berbuat demikian. 'Master Choy' nasihatkan saya supaya menjadi isteri kedua atau menjadi perempuan simpanan," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Meskipun kesemua nasihat 'Master Choy' itu tidak masuk akal, namun ia cukup membuat Loh berasa tidak sedap hati dan kira-kira empat bulan kemudian, dia mengambil keputusan untuk menemui semula lelaki itu untuk membuang sial.
"Saya dibawanya ke sebuah bilik di hotel di ibu negara. Di sana, 'Master Choy' minta saya membogelkan diri sebelum dia mencabul seluruh badan saya kononnya untuk mencari 'punca' pembawa sial.
"Dia juga mengarahkan saya supaya mengambil gambar bogel menggunakan telefon bimbit di rumah dan menghantar khidmat pesanan multimedia (MMS) kepadanya. Saya telah menghantar 15 keping gambar untuk dia melakukan upacara membuang sial," jelas Loh.
Ia tidak berakhir di situ kerana Loh terus menemui 'Master Choy' secara kerap, sama ada di hotel atau kondominium lelaki itu dan mereka melakukan hubungan seks sebanyak 12 kali dalam tempoh beberapa bulan.
Menurut Loh, apabila sedar dirinya ditipu, dia telah menjauhkan diri daripada lelaki berkenaan.
Lebih perit, mangsa disahkan pula menghidapi penyakit kelamin, dipercayai akibat hubungan seks yang dijalinkan dengan lelaki terbabit.
"Apabila dia terus mengganggu, saya memberi amaran kepadanya akan membuat laporan polis, namun dia pula mengugut akan menuduh saya merosakkan rumah tangganya selain mengugut untuk menyebar gambar bogel saya di Internet," ujarnya.
Bagaimanapun, Loh akhirnya memberitahu ibu bapanya berhubung kejadian itu sebelum membuat aduan kepada Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA yang diketuai Datuk Michael Chong.
sumber: Utusan Malaysia.